Jauhku membuang pandang di sudut hari menunggu jawapan. Apakah nanti aku bisa ke mari menebar bakti buat anak-anak jati yang menunggu harap : sekuah ilmu sesuap kudrat buat meniti masa depan ke arah wawasan dijulang.
Sahabatku: Menoleh kelmarin peritnya zaman penjajah : sekuah ilmu ibarat segunung intan, sesuap kudrat tidak mampu dijawat dalam kemiskinan melarat. Tolehlah dari kelmarin yang kelam, pengajaran menjangkau semangat. Binakan dalam diri bahawa kita adalah pendidik berwibawa, junjung dulang kecemerlangan buat hidangan anak-anak didik wawasan yang menanti harap kasih, menunggu harap sayang, memeluk cinta jaya.
Sahabatku : Pandanglah esok yang gemilang : sekuah ilmu yang kau hulur, sesuap kudrat yang kau tabur : bisa melahirkan warga terhormat, pemimpin dunia, usahawan berjaya, ahli korporat dan teknorat yang dulunya meredah kepayahan. Walau mereka meniti langit, jauh meninggalkan engkau sendirian mendongak perit. TETAPI ! Siapakah mereka tanpamu ? Anak-anak yang dahulu tidak mengenal sesuatu : BUTA TANPA GURU, TULI TANPA SERU, MELARAT TANPA ILMU.
Sahabatku : Kita dijunjung kerana ilmu, dimulia kerana jasa. Berbahagialah dengan kedudukanmu walau di mana kau berada. Akhirnya ku titipkan kepadamu sebuah tinggalan nostalgia seorang bakal guru yang telah menjadi guru untukmu jadikan pegangan:
DARI RIMA-RIMA U, KAN KU CERITAKAN PADAMU KISAH MATA ANAK SERIBU
“Wahai sahabatku bakal guru : dalam matamu kulihat mataku. Tentu dalam mataku kan tampak matamu. Pasti kata-kataku padamu kan kembali padaku kerana kita punya arah yang satu. Dari bulat matamu ku lihat seribu anak melambai sayu. Semua orang kata itu anakmu. Anakmu tentu anakku. Bisakah satu ibu punya anak seribu ?” tanya kalbuku.
” Wahai sahabatku bakal guru : lupakah kita ke sini belajar jadi bapa anak seribu atau kau hanya ingin bergelar seorang guru ? Kalau hanya itu niat hatimu, pasti mereka jadi kerbau jadi lembu. Segera ! Kupaskan saja kulitmu itu : tampallah dengan seribu kulit buku, garapkan saja fail burukmu itu : gayalah dengan beg Profesor Serba Tahu.”
(Mohd. Sharoni Ismail)
0 Maklumbalas:
Post a Comment